Bayi Baru Lahir Sering Menangis, Kenapa?

Bayi Baru Lahir Sering Menangis, Kenapa?Kenapa bayi baru lahir sering menangis?

Semua bayi akan menangis pada masa-masa tertentu. Jika menangis yang tidak terlalu lama boleh di anggap biasa, tetapi jika bayi sering menangis tanpa henti pasti ada yang tidak kena. Kenapa bayi baru lahir sering menangis?

Bagi ibu yang dalam pantang selepas melahirkan pasti akan merasa tertekan kerana bayi sering menangis, tambahan pula dengan rehat yang tidak cukup dan letih. Terdapat pelbagai faktor dan sebab kenapa bayi baru lahir sering menangis. Disini saya akan berkongsi beberapa sebab kenapa bayi baru lahir sering menangis.

1. Saya Lapar
Lapar adalah sebab utama bayi menangis. Bayi yang lebih kecil lebih berkemungkinan menangis kerana lapar, kecuali dalam tempoh satu atau dua hari selepas dilahirkan kerana pada ketika ini dia hanya minum sedikit sahaja. Jika anda mengamalkan penyusuan badan, anda mungkin sedar akan perkara ini, kerana susu awal atau kolostrum yang sangat pekat dikeluarkan dalam jumlah yang sedikit. Anda juga mungkin sedar bahawa susu mula keluar dengan banyak sekitar hari ketiga.

Perut bayi yang kecil tidak dapat menyimpan begitu banyak kerana saiz perut bayi yang baru lahir sangat kecil. Disebabkan saiz yang sangat kecil itulah menyebabkan bayi sering lapar dan menangis. Jika bayi anda menangis, cuba berikan dia susu kerana besar kemungkinan dia sedang lapar. Dia tidak akan berhenti menangis dengan serta merta, tapi teruskan penyusuan jika dia mahu, dan dia akan mula bertenang apabila perutnya terisi.

Bayi Baru Lahir Sering Menangis, Kenapa?Jika bayi anda sudah disusukan dan dia masih menangis, mungkin dia menyatakan keperluan seterusnya.

2. Perut Kembung / Perut Tidak Selesa
Periksa perut bayi, samada keras atau lembut. Jika keras, boleh jadi bayi anda sedang mengalami kembung perut atau colic. Apa yang anda perlu buat? Pastikan bayi anda tenang terlebih dahulu jika sedang menangis dengan menegakkan tubuhnya (bukan terlentang baring) rapatkan perut dan dadanya ke dada kita, sambil urut belikat dan betisnya. Setelah bayi anda tenang, sapu dan lurut lembut minyak yang mengandungi kandungan kayu putih (Eucalyptus Globulus) ke bahagian abdomen, pinggang, dan betisnya. Setelah disapu pastikan balut kemas dengan bengkung @ barut, dengan syarat bahagian yang disapu minyak tadi tidak terdedah dengan udara. Sebaiknya selepas melakukan langkah-langkah ini, bayi akan kentut dan membuang air besar.

Ibu-ibu juga boleh melakukan teknik urutan bayi di bawah ini untuk memberi keselesaan dan ketenangan kepada bayi. Menurut kajian urutan akan membantu dalam tumbesaran bayi.

Bayi Baru Lahir Sering Menangis, Kenapa?

3. Hernia untuk bayi LELAKI
Periksa keadaan bahagian testis bayi samada bengkak atau normal. Semasa bayi menangis, ambil masa sepantas mungkin untuk membuka lampin bayi anda dan periksa testis bayi samada bengkak atau normal. Jika membengkak maka tenangkan bayi dahulu dengn berusaha menghentikan atau memperlahankan tangisan bayi, Pastikan tubuh bayi anda dilekapkan ke dada kita dalam keadaan bayi didirikan, bukan terlentang. Setelah bayi tenang, sapukan minyak zaitun atau minyak kelapa dara ke bahagian testis dan tekan sedikit bahagian otot di bawah testis, iaitu di tengah-tengah antara anus dan scrotum. Genggam lembut testis bayi anda, dan jika boleh sehingga bengkak surut sedikit. Seterusnya lakukan urutan hernia terhadap bayi.

Cara urutan hernia pada bayi:
Lakukan urutan 2 jari pada bayi setiap kali selepas mandi terutamanya (jika boleh setiap kali melakukan penukaran lampin), diurut lembut dengan ibu jari atau dua jari dari ari-ari ke atas sebelum pusat(pastikan jangan melebihi pusat), sampai di pusat lakukan urutan pusingan lawan jam dari pangkal ulu hati ke sekeliling perut, sebaiknya juga dilakukan pada malam hari sebelum tidur.

Pastikan jika menggunakan minyak berangin, perut jangan didedahkan dalam jangka masa yang lama tanpa dibengkung, kerana akan membawa kepada risiko kembung + hernia.

Minyak untuk masalah hernia anak-anak, boleh dibuat sendiri, sediakan minyak zaitun atau minyak kelapa (tanak) kemudian dicampurkan dengan minyak H/sawda’ dan sedikit bunga cengkih (yang telah diserbukkan), dikacau atau gaul hingga sebati, biarkan selama satu malam, keesokkannya sudah boleh digunakan untuk urutan, selain dari itu disapukan ke testis bayi tersebut (arah dari pangkal testis ke pangkal zakar).

Antara doa khusus yang boleh diamalkan semasa melakukan pengurutan adalah Ya Lathif, dizikirkan berulang kali semasa urutan dilakukan.

Pada minyak tersebut boleh dibacakan dengan Istighfar 21x, BasmALLAH 21x, Al Fatihah sebanyak 21x, Al Ikhlas 11x dan Selawat 21x, kemudian mohon hajat ke hadrat ALLAH Azza Wajalla. Semoga ALLAH memberi kesembuhan atas usaha dan ikhtiar ini. Insya Allah.

4. Pedih melecet atau ruam.
Periksa pada celahan peha, punggung, dan leher serta tempat-tempat yang berlipat samada terdapat sebarang ruam atau melecet. Hal ini akan membuatkan bayi menangis atau merengek kerana kesakitan. Jika ada, bersihkan dan lapkan sehingga kering kawasan tersebut dan sapukan dengan bedak yang tidak mengandungi bahan kimia terlarang, atau disapukan minyak kelapa dara atau minyak zaitun. biarkan seketika agar minyak dapat meresap dan pakaikan lampin seperti biasa.

5. Saya Perlu Pelukan
Jika bayi masih menangis juga walaupun perut sudah kenyang dan perut juga berada dalam keadaan baik serta testis dalam keadaan elok dan tiada kesan melecet. Itu bermaksud fitrah untuk bayi baru lahir, kerana mereka merasakan diri mereka didalam sarung tembuni ibu, maksudnya mereka ingin didukung, dipeluk erat dan dibawa berjalan, pastikan jangan duduk kerana bayi akan dapat merasa perbezaan graviti antara duduk dan berdiri.
Dalam hal ini sebaiknya diuruskan oleh bapa, paling penting adalah ketenangan, kerana bayi dapat merasa dan menerima ketenangan tersebut. Jika tidak tenang, maka rasa yang sama akan bayi rasa.
Dalam tempoh 40 hari awal sememangnya itulah fitrah bayi baru lahir. Mereka ingin dipeluk erat sepertimana mereka di dalam rahim ibu, dibawa berjalan atau sekadar menggerakkan tubuh ke kanan dan ke kiri dalam keadaan berdiri. Ini adalah bayi kerana merindui tempoh 9 bulan lebih di daam rahim ibu.

6. Perlu rehat dan tidur
Memang mudah bagi kita menyangka yang bayi akan tertidur apabila mereka mengantuk, tidak kira di mana mereka berada kerana kebanyakan bayi berbuat demikian. Tetapi, jika bayi anda telah mendapat terlalu banyak perhatian – mungkin hari itu sibuk dan ramai pelawat datang ke rumah – dia mungkin terlalu terangsang dan mendapati sukar untuk “tutup suis” dan bertenang.

Bayi baru lahir didapati sukar untuk mengurus rangsangan yang terlalu banyak pada satu-satu masa hingga boleh menjadi gelisah. Cahaya lampu, bunyi bising dan saudara mara yang masing-masing mahu menarik perhatiannya cukup membuatkan dia resah.

Ramai ibu bapa mendapati bayi menangis lebih daripada biasa apabila saudara mara datang melawat, atau apabila petang menjelma. Jika anda tidak nampak sebab tertentu mengapa bayi anda menangis, dia mungkin cuba memberitahu anda, “Saya dah tak tahan lagi”. Jika anda bawa dia ke tempat yang tenang dan senyap, kurangkan ransangan secara perlahan, dia mungkin akan mengeskspresikan perasaannya dengan menangis sekejap sebelum betenang dan terus tidur.

Ketahuilah, secara vokalnya, bayi tiada bahasa lain kecuali menangis, selain itu adalah bahasa tubuh mereka untuk menggambarkan mereka tidak selesa, lenguh dan sebagainya.

Jika anda sudah pasti keperluan bayi anda telah dipenuhi dan tiada perkara fizikal yang menyebabkan bayi anda menangis, dan jika anda telah mencuba pelbagai cara untuk menenangkannya tetapi tidak berhasil, maka tiba masanya untuk anda menjaga diri sendiri supaya anda tidak rasa tertewas dan tertekan. Di sini diberikan beberapa cadangan yang boleh anda lakukan:

  • Tarik nafas panjang.
  • Letakkan bayi anda di satu tempat buat sementara dan biarkan dia menangis untuk seketika tanpa didengari oleh anda.
  • Sekiranya ada penjaga, berikan bayi anda kepada penjaga buat seketika.
  • Jika membantu, mainkan muzik yang nyaman dan relakskan diri sendiri untuk 10 minit.
  • Panggil kawan atau saudara untuk mendapatkan sokongan. Berehatlah buat sementara dan biarlah orang lain menjaga bayi anda untuk sekejap.
  • Cari kumpulan sokongan atau kumpulan ibu-dan-bayi di mana anda boleh berkongsi perasaan anda dan berbincang dengan ibu bapa baru yang lain tentang cara untuk menangani tangisan bayi.
  • Ingatkan diri anda bahawa bayi anda tiada mempunyai sebarang masalah dan tangisan itu tidak akan mencederakan dia. Kadangkala cuma dengan menerima kenyataan yang anda mempunyai bayi yang banyak menangis akan membantu, sebab anda tidak akan membuat diri anda letih dengan mencari-cari sebab-sebab tangisan itu, menyalahkan diri anda, atau melakukan pelbagai rawatan yang tidak berkesan.
  • Ingatkan diri anda bahawa ini fasa sementara dan akan berlalu.

Menjadi ibu bapa merupakan satu tanggungjawab yang sangat besar. Si bapa/suami perlu bersama-sama menolong isteri menguruskan bayi yang baru lahir. Banyakkan bertanya pada kawan-kawan yang terlebih dahulu melalui pengalaman sebegini. Juga jangan lupa bahawai bu bapa kita juga sebagai tempat rujukan terbaik kerana mereka lebih berpengalaman. Laluilah tempoh berpantang ini dengan perasaan yang tenang dan gembira dan ketahuilah fasa bayi anda sering mengangis ini akan hilang dan berhenti tanpa anda sedari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

CommentLuv badge